Fokus utama Tunjang Komunikasi adalah Kemahiran Bahasa dan Seni Bahasa. Kemahiran Bahasa merangkumi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Bahan yang digunakan perlu sesuai dengan peringkat perkembangan kanak-kanak. Seni Bahasa merujuk kepada keupayaan murid mengungkap keindahan bahasa melalui kepelbagaian aktiviti dan permainan bahasa seperti drama dan sajak.

Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai
Pendidikan Islam
Pendidikan Islam memberi pengetahuan dan kemahiran asas tentang Rukun Iman, Rukun Islam, Sirah Rasulullah dan Kalimah Syahadah. Murid prasekolah belajar bersuci, berwuduk, melakukan pergerakan solat, mencontohi beberapa akhlak Rasulullah dan melakukan amalan harian mengikut adab. Pada masa yang sama murid ini juga mengenal asas bahasa Al Quran, huruf hijjaiyah dan Jawi serta menghafaz beberapa surah pendek dan doa pilihan. Pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam dijalankan melalui aktiviti seperti bercerita, simulasi, menyanyi, bernasyid, aktiviti hands-on, meneroka dan bermain.
Pendidikan Moral
Pendidikan moral prasekolah memberi fokus kepada pelakuan moral yang dipupuk secara berterusan sepanjang masa murid berada di prasekolah. Pendidikan moral tidak dijalankan melalui aktiviti yang spesifik tetapi diterapkan melalui kesemua aktiviti yang dijalankan dalam prasekolah. Nilai-nilai murni Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan adalah seperti berikut: kepercayaan kepada Tuhan, baik hati, bertanggungjawab, berterima kasih, hemah tinggi, hormat-menghormati, kasih sayang, keadilan, keberanian, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, toleransi, berdikari dan berdisiplin.








