Created By ~ Tg.Hezlin. Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

ORGANISASI PRASEKOLAH CERIA SK JENGKA 19


PRASEKOLAH CERIA
SK (LKTP) JENGKA 19
26400 BANDAR JENGKA
PAHANG DARULMAKMUR.




GURU BESAR : En Azmin B. Mohd Salleh



GURU PRASEKOLAH : Pn. Tengku Hezlin Bt. Tengku Abu Bakar




PPM : Pn. Kasmanie Musa

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

P&P Kreativiti Fizikal

Salam semua...
Hari ni saya akan kongsi sebuah video yang saya buat khas untuk satu slot aktiviti P&P saya. Aktiviti ni saya buat masa ada pemantauan dari pihak JPN daerah Jerantut. Mereka datang untuk penilaian Pertandingan Prasekolah Terbilang peringkat negeri Pahang. Selain Fizikal kelas, aspek yang dinilai ialah dari segi sistem pengurusan prasekolah termasuk fail dan P&P. Dengan sebab tu la saya ada buat video ni sebagai penerangan kepada murid semasa aktiviti membuat salad buah dalam P&P saya..hehehe.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

TUNJANG-TUNJANG PEMBELAJARAN 2






Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika

Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetik merangkumi Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan serta Perkembangan Kreativiti, Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan
Kanak-kanak pada peringkat prasekolah memerlukan aktiviti yang menguatkan kawalan otot mereka. Aspek perkembangan fizikal adalah amat penting di prasekolah kerana tanpa perkembangan fizikal yang mantap kanak-kanak akan menghadapi masalah dalam melakukan aktiviti seperti memegang pensel atau berus untuk menulis dan melukis, penglibatan dalam aktiviti sukan, aktiviti memainkan peralatan muzik serta pengendalian peralatan. Pendidikan prasekolah menyediakan peluang pembelajaran untuk meningkatkan kemahiran motor halus, kemahiran motor kasar serta kordinasi mata-tangan di kalangan kanak-kanak ini. Perkara yang dirangkumi termasuk teknik yang betul untuk melompat, menyambut objek, membaling objek serta postur yang betul semasa duduk.

Tunjang ini juga memberi penekanan kepada pembinaan amalan penjagaan kesihatan fizikal diri, kebersihan persekitaran dan pemakanan yang berkhasiat. Tabiat yang dibina akan memanfaatkan kanak-kanak ini sepanjang usia mereka. Secara lazimnya kanak-kanak yang mempunyai badan yang sihat dapat memberi tumpuan yang lebih baik kepada pembelajaran dan mempunyai konsep kendiri yang positif. Tunjang ini juga menekanan aspek keselamatan diri daripada sumber yang mungkin menyebabkan kemalangan dan bahaya kepada diri mereka termasuk langkah menjaga kehormatan diri.



Perkembangan Kreativiti

Perkembangan kreativiti merangkumi seni visual, pendidikan muzik serta drama dan gerakan kreatif. Tunjang ini lebih menekankan proses daripada produk. Kanak-kanak diberi peluang untuk menzahirkan idea mereka secara kreatif dan melibatkan diri dalam aktiviti kreativiti.

Fokus seni visual adalah pada aplikasi seni, ekspresi kreatif dan apresiasi. Aplikasi seni merujuk kepada proses mengenal dan memilih bahan yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu karya. Ekspresi kreatif adalah proses penghasilan karya. Apresiasi seni melibatkan proses menceritakan hasil kerja sendiri dan juga menunjukkan penghargaan terhadap keindahan persekitaran serta hasil kerja orang lain.

Pendidikan Muzik merangkumi aktiviti menyanyi, pengalaman awal untuk memainkan perkusi, penghasilan muzik menerusi bahan atau objek improvisasi, dan apresiasi muzik.

Drama dan Gerakan Kreatif merangkumi aktiviti drama dan gerakan kreatif di mana murid diberi peluang untuk main peranan, berlakon, menari dan membuat gerakan secara kreatif.
Aktiviti tunjang ini bukan sahaja digunakan untuk meningkatkan daya kreativiti tetapi juga digunakan untuk mencapai objektif pembelajaran tunjang lain. Aktiviti menyanyi dan pergerakan kreatif sentiasa digunakan semasa pembelajaran bahasa, matematik dan lain-lain.



Tunjang Sains dan Teknologi – Awal Sains dan Awal Matematik

Tunjang Sains dan Teknologi merangkumi awal sains, awal matematik, aktiviti pembinaan menggunakan objek seperti blok dan penggunaan ICT.

Awal Sains
Awal Sains menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka alam sekitar mereka menggunakan organ deria dan peralatan mudah. Dalam proses penerokaan ini, sikap saintifik yang positif seperti sifat ingin tahu, sistematik dan teliti akan terbentuk. Semasa proses penerokaan ini, kemahiran asas proses sains seperti kemahiran memerhati, mengukur menggunakan unit bukan piawai, membanding dan mengelas juga akan dikembangkan. Penerokaan dijalankan ke atas alam hidupan(contoh: tumbuhan, haiwan), alam bahan (contoh: objek yang tenggelam dan timbul, air, magnet) dan alam fizikal (contoh: pelangi,cuaca). Tunjang ini lebih mementingkan penguasaan kemahiran daripada pemerolehan pengetahuan. Guru perlu bersikap terbuka terhadap pandangan dan dapatan daripada hasil penerokaan murid.
Awal Sains menyediakan peluang kepada kanak-kanak empat hingga enam tahun untuk membuat pembinaan menggunakan objek seperti blok. Aktiviti pembinaan ini bukan sahaja memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mempelajari konsep penghubung, lingkungan serta awal matematik tetapi untuk meningkatkan daya kreativiti murid dan kemahiran motor halus.

Awal Matematik
Awal Matematik membekalkan pengalaman awal matematik kepada murid prasekolah. Pengalaman ini termasuk konsep pranombor, nombor, operasi nombor yang mudah, nilai wang, konsep waktu, bentuk dan ruang. Konsep matematik ini dipelajari pada masa yang khas dan juga disepadukan ke dalam semua aktiviti pembelajaran bertema menggunakan kaedah yang menyeronokkan.

Tunjang Sains dan Teknologi juga menyediakan peluang kepada murid prasekolah menggunakan komputer untuk melakukan tugasan tertentu. Penggunaan komputer adalah di tahap kemahiran asas sahaja.


Tunjang Kemanusiaan

Tunjang Kemanusian memberi peluang kepada kanak-kanak supaya lebih memahami diri sendiri, lebih memahami perhubungan antara diri dengan keluarga, rakan, komuniti dan alam sekitar. Kanak-kanak juga akan lebih memahami tanggungjawab diri dalam perhubungan-perhubungan ini. Tunjang ini juga memberi penekanan kepada pemahaman budaya dan tradisi pelbagai kaum di Malaysia serta menggalakkan penglibatan dalam perayaan pelbagai kaum ini.
Tunjang Kemanusian menggariskan skop dan konteks pembelajaran di prasekolah. Kandungan dalam tunjang ini boleh digunakan untuk membina tema-tema pembelajaran.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

TUNJANG-TUNJANG PEMBELAJARAN








Tunjang Komunikasi

Tunjang ini terdiri daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris adalah wajib dipelajari oleh semua murid prasekolah. Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dipelajari oleh murid di prasekolah yang beraliran bahasa Cina dan bahasa Tamil.
Fokus utama Tunjang Komunikasi adalah Kemahiran Bahasa dan Seni Bahasa. Kemahiran Bahasa merangkumi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Bahan yang digunakan perlu sesuai dengan peringkat perkembangan kanak-kanak. Seni Bahasa merujuk kepada keupayaan murid mengungkap keindahan bahasa melalui kepelbagaian aktiviti dan permainan bahasa seperti drama dan sajak.



Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai


Tunjang Kerohanian, sikap dan nilai merangkumi pendidikan Islam dan pendidikan Moral. Pendidikan Islam dipelajari oleh murid beragama Islam selama dua jam seminggu. Pendidikan Moral dipelajari oleh murid lain selama dua jam seminggu.

Pendidikan Islam
Pendidikan Islam memberi pengetahuan dan kemahiran asas tentang Rukun Iman, Rukun Islam, Sirah Rasulullah dan Kalimah Syahadah. Murid prasekolah belajar bersuci, berwuduk, melakukan pergerakan solat, mencontohi beberapa akhlak Rasulullah dan melakukan amalan harian mengikut adab. Pada masa yang sama murid ini juga mengenal asas bahasa Al Quran, huruf hijjaiyah dan Jawi serta menghafaz beberapa surah pendek dan doa pilihan. Pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam dijalankan melalui aktiviti seperti bercerita, simulasi, menyanyi, bernasyid, aktiviti hands-on, meneroka dan bermain.

Pendidikan Moral
Pendidikan moral prasekolah memberi fokus kepada pelakuan moral yang dipupuk secara berterusan sepanjang masa murid berada di prasekolah. Pendidikan moral tidak dijalankan melalui aktiviti yang spesifik tetapi diterapkan melalui kesemua aktiviti yang dijalankan dalam prasekolah. Nilai-nilai murni Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan adalah seperti berikut: kepercayaan kepada Tuhan, baik hati, bertanggungjawab, berterima kasih, hemah tinggi, hormat-menghormati, kasih sayang, keadilan, keberanian, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, toleransi, berdikari dan berdisiplin.



Tunjang Ketrampilan Diri - Perkembangan Sosioemosi

Pendidikan prasekolah memberi penekanan kepada perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Kanak-kanak akan menghadapi masalah di prasekolah dan juga di sekolah rendah kelak jika sosioemosi mereka kurang stabil dan mantap. Perkembangan sosioemosi merangkumi aspek mengenali dan mengurus emosi sendiri, pencapaian emosi yang positif, pembinaan konsep kendiri positif serta pembinaan kemahiran berinteraksi dan kemahiran sosial. Perkembangan sosioemosi berlaku sepanjang masa kanak-kanak berada di prasekolah, ia tidak dicapai melalui aktiviti spesifik tetapi menerusi kesemua aktiviti sama ada aktiviti rutin, semasa rehat, semasa makan dan juga aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lain.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

ORGANISASI KURIKULUM PENDIDIKAN PRASEKOLAH

ORGANISASI KURIKULUM
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan digubal dengan memberikan penekanan kepada standard kandungan dan standard pembelajaran yang patut diketahui dan boleh dilakukan oleh kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun. Standard kandungan dan standard pembelajaran berpaksikan pengetahuan, kemahiran asas serta nilai dalam enam Tunjang Pembelajaran berikut: Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan; Sains dan Teknologi; Perkembangan Fizikal dan Estetika serta Perkembangan Ketrampilan Diri.

Untuk tujuan kesinambungan, Tunjang-tunjang Pembelajaran ini adalah sama dengan tunjang yang difokuskan dalam pendidikan sekolah rendah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

FOKUS PENDIDIKAN PRASEKOLAH

FOKUS
Pendidikan Prasekolah berfokus kepada usaha untuk menyediakan peluang pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna kepada kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun. Fokus utama adalah proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan kanak-kanak, menekankan kepada inkuiri penemuan, dan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran bersepadu, bertema, belajar melalui bermain, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran berasaskan projek. Prinsip utama yang digunakan adalah pendekatan dan kandungan pembelajaran perlu sesuai dengan peringkat perkembangan kanak-kanak dan mengambil kira perbezaan antara individu. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran ini, kanak-kanak akan memperoleh konsep dan kemahiran asas yang akan membantu mereka meneruskan pembelajaran ke sekolah rendah kelak.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

OBJEKTIF PRASEKOLAH

OBJEKTIF
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan menyediakan peluang kepada kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun untuk mencapai objektif dalam aspek jasmani, emosi dan sosial, intelek dan rohani seperti berikut:

i. Membina kecergasan badan.
ii. Mempunyai tubuh badan yang sihat.
iii. Mempraktikkan amalan kesihatan yang baik.
iv. Mempraktikkan langkah-langkah menjaga keselamatan diri.
v. Menguasai kemahiran motor halus dan asas motor kasar.
vi. Mempunyai kematangan emosi.
vii. Mempunyai konsep kendiri yang positif dan jati diri.
viii. Berani menyuarakan pandangan dan perasaan.
ix. Berkebolehan berinteraksi dengan orang lain.
x. Boleh bekerja secara bersendirian dan juga bekerja secara berkumpulan.
xi. Menghormati perasaan serta hak orang lain dan seterusnya membentuk perhubungan yang positif dengan orang dewasa serta rakan sebaya.
xii. Mengamalkan nilai murni.
xiii. Mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk murid beragama Islam.
xiv. Berkomunikasi menggunakan bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa pengantar dalam konteks kehidupan harian.
xv. Meneroka persekitaran menggunakan kemahiran proses sains asas.
xvi. Menggunakan kemahiran matematik asas dalam menjalankan tugasan harian dan menyelesaikan masalah.
xvii. Menggunakan kemahiran berfikir kritis, kreatif dan inovatif dalam pembelajaran dan kehidupan seharian.
xviii. Mengembangkan daya kreatif dan estetika
xix. Menghargai keindahan alam dan warisan budaya

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Matlamat Prasekolah

Berdasarkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan, saya akan mencatat beberapa maklumat penting tentang prasekolah. Di sini saya akan mulakan dengan Matlamat Pendidikan Prasekolah.

MATLAMAT
Pendidikan prasekolah bertujuan memperkembangkan potensi kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran pembelajaran yang selamat, menyuburkan serta aktiviti yang menyeronokkan, kreatif dan bermakna. Ini adalah untuk meningkatkan kemahiran, menanam keyakinan dan membentuk konsep kendiri yang positif pada diri kanak-kanak agar mereka berjaya dalam persekitaran sedia ada dan bersedia untuk menangani cabaran dan tanggungjawab di sekolah rendah kelak.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Perkongsian Classroom Art and Craft Finished

Mari kita berkongsi sumber untuk mengajar kraftangan kepada murid...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS